Kaedah Penanaman & Penjagaan Pokok Pisang
Pokok pisang amat sesuai ditanam di negara kita dan hasilnya amat menguntungkan jika betul cara penjagaannya dan pisang juga berbuah tidak mengikut musim.
Berikut merupakan kriteria-kriteria yang perlu diambil kira semasa peringkat menanam pisang:
1. Iklim dan tanah:
Keadaan panas dan lembap adalah paling sesuai untuk tanaman pisang. Ia boleh ditanam di atas jenis tanah yang dalam, ringan serta rata. Secara umumnya, suhu optimum antara 25oC-30oC sesuai untuk tanaman pisang. Suhu yang rendah akan memberi kesan yang negatif kepada pertumbuhan batang, daun dan melewatkan kematangan pokok. Jangan tanam di atas tanah yang bertakung air.
Tanah bertekstur lempung berpasir dan keadaan tanah adalah peroi sesuai untuk pisang. Keadaan permukaan tanah yang sesuai hingga beralun iaitu kecerunan kurang 12%. Pisang tidak sesuai ditanam di tanah yang mempunyai halangan terhadap pertumbuhan akar seperti tanah padat, lapisan batu, paras air tinggi, gambut dan lapisan asid.
Untuk pertumbuhan yang baik, pokok pisang sangat memerlukan cahaya yang terbuka. Jika terdapat naungan, pertumbuhan batang palsu akan berlarutan dan pokok bertambah tinggi. Tempoh kematangan juga akan berlarutan dari keadaan biasa.
Suhu yang terlalu tinggi serta pendedahan cahaya yang berpanjangan akan mengakibatkan kelecuran pada buah. Tiupan angin turut mempengaruhi pertumbuhan pokok. Angin yang kuat boleh merosakkan daun dan mematahkan pucuk serta merendahkan mutu hasil buah. Penanaman pisang tidak digalakkan di kawasan yang terdedah kepada tiupan angin melebihi 15 km/jam.
2. Bahan tanaman:
Ada tiga jenis sulur untuk digunakan sebagai bahan tanaman:-
Sulur Dara Sulur Pedang Sulur Payung | - Akar akar sudah terbentuk - Tegap, subur dan baik untuk dijadikan benih. - Umbi kecil dan lebar, akar dan batang lemah. |
Namun kini, penanaman pisang digalakkan menggunakan KAEDAH TISU KULTUR bagi mengelakkan penyakit MOKO yang disebabkan oleh sejenis bakteria yang nama saintifiknya adalah Ralstonia Solanacearum E. Penyakit ini berjangkit ketika memotong sulur untuk dijadikan bahan tanaman (perpindah melalui parang, cangkul dan merebak melalui tanah). Kaedah tisu kultur dapat mengelakkan penyakit malah pokok lebih sihat dan buah yang lebih berkualiti.
3. Sistem Penanaman:
- Tanaman Tunggal. Diusahakan untuk pengeluaran secara komersil dan bekalan berpanjangan. Jarak tanaman ialah 2.5 m x 2.5 m dengan kepadatan 1,600 pokok sehektar. Pada jarak 3 m x 3 m kepadatan mencapai 1,100 pokok sehektar.
- Tanaman Selingan. Pisang ditanam bersama tanaman kekal, seperti getah, kelapa sawit, koko dan durian sebagai tanaman selingan sebelum pengeluaran hasil daripada tanaman utama. Sebaris pisang dengan jarak 3 m x 3 m dengan kepadatan 700-900 pokok sehektar dapat ditanam antara barisan kelapa sawit atau pokok getah dan juga pokok buah-buahan yang bersesuaian.
4. Cara penanaman:
Gali lubang sebesar 45 cm x 45 cm x 60 cm (1.5 x 1.5 x 2 kaki). Gaul tanah lapis atas dengan 11-14 kg. baja organan dan 125 gm baja fostat. Digalak menggunakan Baja Bio King bagi membiak mikrob untuk menyuburkan tanah ketahap maksima. Jarak tanaman ialah antara 3 m x 3 m hingga 3.6 m x 3.6 m.
5. Pembajaan:
Pembajaan dilakukan secara ditabur sekeliling pokok atau dimasukkan ke dalam parit yang digali sedalam 5 cm. Pembajaan menggunakan sistem poket juga biasa digunakan. Poket atau lubang sedalam 15 cm digali sejauh dalam lingkungan semeter daripada pangkal rumpun atau pokok pisang.
Dalam sistem tanaman pisang secara tunggal, adalah disyorkan pisang ditanam dengan kaedah sistem tanaman berbatang tunggal atau single stem kerana sistem ini sesuai bagi pekebun pisang yang mementingkan berat tandan dan kualiti buah khususnya untuk eksport. Dalam sistem berbatang tunggal ini, hanya pokok induk dibiar tumbuh dari mula hingga peringkat berbuah (satu generasi sahaja). Anak-anak sulur yang tumbuh dibuang semuanya bermula pada 3-4 bulan selepas menanam dan diulangi membuangnya setiap 6-8 minggu sekali sehingga permulaan musim menuai. Apabila 60% keluasan kawasan telah dituai, pemangkasan menyeluruh dilakukan untuk memilih satu anak sulur sahaja pada setiap rumpun untuk dijadikan ratun dan yang selebihnya dibuang. Pemilihan pokok ratun ini adalah berdasarkan kepada ketinggian sulur (70-100 cm) dan yang didapati tumbuh di umbisi utama.
Sementara itu sistem yang sesuai bagi tanaman selingan adalah seperti dihuraikan dalam pemangkasan sulur atau dengan mengguna kaedah sistem berbatang dua. Sistem ini bermaksud pada setiap masa serumpun pisang mempunyai dua batang pokok iaitu pokok yang akan berbuah dan anak sulur. Dalam sistem ini sulur yang dipilih adalah ketika pokok induk mula mengeluarkan bunga iaitu 8 bulan selepas ditanam bagi pisang berangan dan 6-7 bulan bagi pisang mas.
6. Pengurusan Air:
Pokok pisang memerlukan air sebanyak 8-12 liter sehari. Biasanya pisang tidak dibekalkan dengan pengairan tetapi ia mendapat bekalan air dari simpanan dalam tanah atau dari air hujan. Pemasangan sistem pengairan untuk tanaman pisang melibatkan kos yang tinggi. Sistem pengairan boleh dilaksanakan sekiranya permintaan pasaran pisang yang banyak dan pulangan yang boleh menguntungkan.
7. Pemangkasan Sulur:
Aktiviti membuang sulur yang tidak dikehendaki dengan tujuan menjarakkan penuaian hasil dalam satu-satu rumpun serta memastikan hasil dan mutu buah tidak terjejas akibat persaingan dalam permakanan. Pemangkasan peringkat awal dilakukan dengan memilih dan membiarkan satu pokok induk dan satu sulur, di peringkat pokok berumur 3 bulan bagi pisang emas dan 4 bulan bagi pisang berangan. Seterusnya sulur-sulur lain dipangkas secara berjadual iaitu 3-4 minggu sekali dan dipilih serta dikekalkan satu lagi sulur pada umur 8 bulan bagi pisang emas dan 9 bulan bagi pisangan berangan. Cara pemangkasan yang mudah ialah menggunakan pisau tajam untuk memotong sulur pada aras tanah.
8. Cantasan Pelepah:
Pelepah tua dan berpenyakit perlu dicantas dengan menggunakan pisau tajam dari peringkat awal penanaman. Pelepah tersebut perlu dikumpulkan di suatu lokasi yang ditentukan diantara barisan tanaman pisang.
9. Menyokong Pokok:
Pokok yang condong perlu ditongkat dengan kayu atau buluh untuk menahan pokok pisang daripada tumbang atau patah tengkok kerana batang tidak dapat menampung buah yang berat.
10. Pembungkusan Tandan Pisang:
Langkah awal untuk mengawal mutu buah pisang ialah dengan membungkus tandan pisang. Pembungkusan dapat mengelak gigitan serangga pada buah, geseran dengan daun atau kayu penyokong. Juga dapat mengelak buah dari calar atau lebam semasa penuaian, pengumpulan dan seterusnya pengangkutan ke rumah pembungkusan.
Sebelum pembungkusan, jantung perlu dipotong terlebih dahulu. Tandan buah dibungkus dengan menyarung sehingga melepasi sisir utama dan diikat kemas. Pada penghujung tandan dibiarkan sarung plastik berlebihan menutupi kesemua sisir pisang. Penandaan perlu dibuat selepas pembungkusan supaya tarikh penuaian dapat ditentukan semasa penebangan.
11. Kutipan Hasil:
Pisang akan berjantung dalam masa 7-10 bulan selepas ditanam. Pisang Mas biasanya mengambil masa enam hingga tujuh bulan untuk berjantung dan buah boleh dikutip lapan minggu kemudian. Pisang Berangan pula berjantung anggaran sembilan bulan selepas menanam dan buah boleh dikutip dalam masa 11-12 minggu kemudian. Bagi mengelakkan buah tercedera, tebang pokok pisang kira-kira 0.5 meter dari tandan buah. Potong sedikit-sedikit, sementara sebelah tangan lagi memegang tandan pisang agar buah tidak terhempas di tanah.
SELAMAT BERJAYA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan